KAEDAH PENGUKURAN HAKISAN TANIH
Terdapat pelbagai kaedah yang
telah diperkenalkan oleh ramai pengkaji dalam mengukur dan menganggar hakisan
tanih. Setiap satu kaedah pengukuran dan penganggaran hakisan tanih yang
diperkenalkan adalah bersesuaian jenis proses hakisan tanih dan ciri-ciri
persekitaran tertentu. Secara umumnya, hakisan tanih diukur dengan tujuan untuk
(i) menginventori proses dan kadar hakisan tanih, (ii) menjalankan penyelidikan
saintifik mengenai hakisan tanih, (iii) menilai impak hakisan tanih terhadap
alam sekitar, dan (iv) mengusul praktik yang sesuai untuk mengawal proses
hakisan tanih. Dua pendekatan yang sering digunapakai oleh pengkaji hakisan
tanih untuk mengukur dan seterusnya menganggar kadar hakisan tanih adalah sama
ada berasaskan kepada ujian dalam makmal yang bergantung kepada pembinaan model
plot hakisan tanih, atau pengukuran langsung di lapangan.
Dalam melaksanakan pengukuran
hakisan tanih, Mutcher et al. (1994) mengemukakan empat langkah yang perlu
ditetapkan sebelum kerja pengukuran dilakukan. Pertama adalah menyediakan perancangan
kerja iaitu melibatkan penentuan objektif kajian dan justifikasi kepada kajian
yang ingin dilakukan. Kedua-dua perkara tersebut perlu ditetapkan awal bagi
menentukan jumlah kos yang terlibat dan panduan dalam menggerakkan penyelidikan
sehingga selesai. Kedua adalah melakukan ulasan ke atas karya-karya yang
berkaitan. Ini bertujuan mewujudkan kefahaman mengenai prosedur dan teknik yang
bersesuaian dalam melaksanakan kerja pengukuran dan penganggaran hakisan tanih
dengan mengambil kira ciri-ciri persekitaran dan keperluan penyelidikan. Ketiga
adalah penyediaan peralatan dan kaedah pengumpulan data. Alatan yang bakal
digunakan harus mengikuti piawaian manakala kaedah mengumpul data harus
mematuhi prosedur persampelan tertentu. Manakala yang ke empat pula adalah
rancangan untuk analisis data. Ini berkait dengan jenis data yang dikumpul dan
proses penjanaan data yang dikumpul mengikut ujian-ujian dan analisis tertentu
bagi mencapai matlamat menganggar kadar hakisan tanih.
Penjelasan seterusnya mengenai kaedah
pengukuran kadar hakisan tanih hanya tertumpu kepada tiga kaedah sahaja iaitu
kaedah pengamatan dan kaedah plot eksperimen. Kaedah pengamatan yang dijelaskan
di sini adalah mengenai pengukuran hakisan mikro berdasarkan pada pertumbuhan
menara tanih. Menara tanih terbentuk apabila impak titisan hujan mencungkil
kumin-kumin tanih bagi permukaan tanih yang bererodibiliti rendah dan
meninggalkan tiang-tiang tanih yang bererodibiliti tinggi kekal pada permukaan
tanih. Bagi mengukur kadar hakisan mikro ini, suatu permukaan tanih yang telah
wujud menara-menara tanih yang kecil perlu dikenalpasti terlebih dulu. Ini
kerana, kewujudan menara-menara tanih kecil adalah petunjuk awal terhadap
keberkesanan impak hujan ke atas permukaan tanih yang rendah erodibilitinya
serta menandakan berlakunya proses hakisan percikan.
Setelah tapak kewujudan
menara-menara tanih yang kecil dikenalpasti maka seterusnya, suatu kuadrat
bersaiz 1m x 1m diperlukan untuk ‘memagar’ kawasan menara tanih yang ingin
dijadikan sebagai tapak ujikaji. Sekiranya pengkaji ingin memperolehi data
lebih banyak maka kuadrat 4m x 4m boleh juga digunakan di atas tapak ujikaji
yang dipilih. Setelah tapak menara tanih ‘dipagarkan’ dengan kuadrat maka
pengkaji harus mula melakukan perkara berikut:
- Mengira jumlah menara tanih yang ada dalam kuadrat
- Mengukur ketinggian setiap menara tanih tersebut
- Mengukur diameter tapak setiap menara tanih tersebut
- Menandakan setiap menara tanih dengan nombor rujukan menggunakan cat putih (penandaan dibuat di atas ‘topi’ setiap menara tanih)
- Melakar kedudukan setiap menara tanih mengikut arah kompas
- Melakar arah pergerakan air larian permukaan
Segala catatan yang
dilakukan pada pertama kali ini akan dijadikan sebagai data rujukan kepada
pertumbuhan menara tanih. Setelah itu, tapak ujikaji berkuadrat ditinggalkan
dan pengkaji perlu menunggu kejadian hujan kedua bagi mengukur pertumbuhan
tanih seterusnya. Langkah-langkah yang sama seperti di atas dilakukan dalam
pengukuran kali ke-2 dan seterusnya. Dalam lawatan kali ke-2 dan seterusnya
itu, sekiranya wujud menara tanih yang baru maka langkah-langkah yang
dinyatakan di atas perlu diulangi. Manakala sekiranya ada pula menara tanih
lama yang telah musnah maka ia harus dicatatkan juga jumlah menara tanih yang
musnah.
Pengkaji harus menetapkan tempoh
yang sesuai untuk mengukur pertumbuhan menara tanih tersebut dengan mengambil
kira berapa kali kejadian hujan yang ingin ditumpukan. Ada kalanya pengkaji
menetapkan tempoh yang agak lama bagi tujuan mengukur pertumbuhan menara tanih
tetapi situasi tidak mengizinkan di mana berlaku kemusnahan menara tanih yang
banyak. Sehubungan itu, apabila pengkaji telah menetapkan pengakhiran kepada
proses mengukur pertumbuhan menara tanih maka perkara berikut perlu dilakukan:
- Mengira jumlah menara tanih yang tinggal
- Catatkan jika ada menara tanih yang baru
Lakukan
langkah-langkah di atas ke atas menara tanih lama dan menara tanih baru
- Ambil beberapa sampel tanih daripada menara tanih yang masih ada
- Ambil beberapa sampel ‘topi’ daripada menara tanih yang masih ada
Seterusnya, data-data terkumpul
bolehlah dianalisis bagi menentukan kadar hakisan mikro. Penjelasan seterusnya
hanya tertumpu pada menganggar kadar hakisan tanih manakala analisis ciri
fizikal tanih dan ‘topi’ menara tanih tidak disentuh. Data pertumbuhan tanih
perlu dikira dengan menentukan nilai purata ketinggian menara tanih bagi
sesuatu kejadian hujan. Nilai purata tersebut perlu pula didarab dengan
keluasan saiz tapak ujikaji bagi mendapatkan nilai anggaran tanih terhakis bagi
sesuatu kejadian hujan. Nilai yang diperolehi akan dibaca dalam unit kg m2.
Nilai tersebut mewakili jumlah tanih permukaan yang telah dihakis bagi sesuatu
kejadian hujan.
Kaedah kedua adalah plot
eksperimen. Kaedah ini dikembangkan bagi dikaitkan dengan model USLE (Universal
Soil Loss Equation) yang bersandar kepada rumus A= R.K.L.S.C.P.
Kaedah lapangan ini sering digunakan bagi menganggar kadar hakisan daripada
proses hakisan permukaan dan hakisan galir. Plot eksperimen biasanya dibina di
bahagian tengah cerun yang menunjukkan tanda-tanda kewujudan galir kecil atau
alur yang menjadi laluan kepada pergerakan air larian menuruni cerun. Saiz
terpiawai plot eksperimen USLE adalah 22.1 m panjang x 4.1 m lebar. Saiz ini
adalah sesuai bagi pembentukan pola galir hakisan dalam lingkungan plot tanpa
dipengaruhi oleh pergerakan air larian permukaan di bahagian luar
atas-kiri-kanan plot eksperimen. Sehubungan itu, pengkaji harus memastikan
dinding plot eksperimen harus tertutup rapi di setiap sisi bagi mengelak kemasukan
air larian permukaan daripada luar plot eksperimen. Sisi plot (dinding) boleh
‘dipagar’ dengan sebarang bahan asalkan bahan tersebut dapat menahan kemasukan
air larian permukaan di luar plot daripada memasuki kawasan plot eksperimen.
Dua perkara penting perlu
dipertimbangkan dalam menentukan saiz plot iaitu anggaran kadar maksimum aliran
air larian permukaan dan anggaran kemampuan menakung kuantiti air larian
permukaan. Bagi anggaran kadar maksimum aliran air larian, ini dapat ditentukan
dengan meneliti data sedia ada bagi kawasan terhampir mengenai tahap
kebolehakisan tanih serta intensity hujan bagi tempoh lima minit yang pertama.
Jika kedua-dua ini tinggi maka saiz plot dan tong takunngan yang besar
diperlukan.
Pengukuran berikut dilakukan pada
setiap kali kejadian hujan sehingga tempoh yang ditetapkan oleh penyelidik,
iaitu:
- Mengira bilangan galir yang wujud dalam plot eksperimen
- Mengira panjang setiap galir
- Mengira lebar setiap galir di bahagian puncak, tengah dan bawah
- Mengira kedalaman galir di bahagian puncak, tengah dan bawah
Air yang bertakung dalam tong takungan
perlu dibuang manakala sedimennya dibawa balik ke makmal untuk proses
seterusnya. Proses makmal bagi sedimen tidak dijelaskan di sini. Namun jumlah
sedimen yang terkumpul (timbangan kering) menjelaskan keberkesanan proses
hakisan permukaan dan hakisan galir yang berlaku. Sehubungan itu, bagi
menganggar kadar hakisan daripada plot eksperimen maka jumlah sedimen
(timbangan kering) yang terkumpul perlu didarabkan dengan keluasan plot
eksperimen dan unit adalah tan m2. Kaedah ini jelas menekankan penganggaran
kadar hakisan berdasarkan kepada jumlah sedimen yang terhasil bagi sesuatu
kejadian hujan.
No comments:
Post a Comment