Pages

Saturday, 25 May 2013

1.5       GUNAAN DATA PENDERIAAN JAUH

Kesemua data daripada satelit sumber bumi mendapat pasaran akademik yang sangat memuaskan dan telah merangsangkan lagi penyelidikan. Banyak faedah yang boleh diperoleh daripada data satelit ini terutama penyelidikan yang meliputi kawasan kajian yang luas dan menangani isu secara global serta memerlukan tempoh perulangan data yang kerap. Penggunaan kaedah penderiaan jauh juga boleh membantu data yang dikumpul daripada lapangan.

Antara pengguna utama kaedah penderiaan jauh ini adalah para penyelidik perubahan global International Geosphere-Biosphere Program (IGBP). United Nation Environment Program (UNEP) telah memainkan peranan penting dalam memperkembangkan pengetahuan mengenai masalah alam sekitar dan cara-cara menanganinya. UNEP juga aktif memajukan sistem pemonitoran persekitaran global atau GEMS yang menyediakan asas data alam sekitar untuk kegunaan antarabangsa. IGBP pula penaja projek yang besar dan dipertanggungjawabkan untuk mengintegrasi pelbagai disiplin kajian mengenai persekitaran secara global. Penekanan IGBP adalah untuk mengumpul data sistem maklumat dunia supaya boleh dijadikan teras untuk membuat keputusan mengenai penyelenggaraan alam sekitar dunia. Dalam mengumpul dan menyediakan data ini IGBP menggunakan kaedah penderiaan jauh dengan meluas sekali.

Dalam tahun 1980an beberapa masalah alam sekitar yang lebih komplek dan menyeluruh telah dikenalpasti. Kaedah penderiaan jauh sangat sesuai digunakan untuk membantu kajian sebegini dan antara kajian yang dijalankan adalah seperti berikut:


i.                   Perubahan Iklim: Kajian kini menunjukkan perubahan iklim berlaku disebabkan oleh pertambahan kandungan gas rumah hujan di atmosfera. Penyebab utama pertambahan ini dikaitkan dengan aktiviti pembakaran bahan api fosil, pertanian dan perindustrian. Dijangkakan bahawa penambahan suhu permukaan bumi berlaku antara 1.5oC ke 4.5oC dan ini boleh mencairkan kawasan salji dan kepingan ais polar dan membawa pada kenaikan paras laut sedunia. Kesan kenaikan paras laut pula akan mempergiatkan lagi hakisan pantai dan kejadian bencana banjir terutama di kawasan rendah. Kajian untuk melihat perubahan suhu ini dapat dibuat melalui kajian perubahan pada litupan tumbuhan dan guna tanah dunia dan kaitannya dengan punca dan benam karbon dioksia. Kajian perubahan guna tanah secara global banyak dilakukan menerusi kaedah penderiaan jauh.

i.                    Pengurangan dan Kehabisan Lapisan Ozon : Masalah ini berlaku apabila kloroflurokarbon buatan manusia dibebaskan ke udara dan gas ini memusnahkan lapisan ozon di stratosfera. Ini juga menjadi penyebab utama berlakunya 'lubang ozon' yang telah dikesani melalui imej satelit di kawasan polar pada masa-masa tertentu. Pengurangan ozon dianggap serius oleh para saintis kerana lubang ozon memberi laluan pada sinaran ultra lembayung untuk sampai ke permukaan bumi dan memberi kesan negatif pada kesihatan manusia.

ii.                  Hujan Asid. Kejadian hujan asid semakin kerap berlaku dan memudaratkan kerana pemendapan asid boleh merosakkan bangunan, tasik, tumbuhan dan tanih. Hujan asid berlaku apabila sebatian sulphur yang terkandung dalam pembakaran bahan api fosil di udara dimendapkan melalui hujan.

iii.                Pengurangan Hutan : Pembangunan pertanian, perbandaran dan aktiviti pembalakan yang berleluasa telah mengurangkan kawasan hutan dunia secara keseluruhan. Ini boleh mengganggu keseimbangan ekologi dan pemantulan sinaran di permukaan bumi yang boleh mengakibatkan gangguan kepada putaran hidrologi dan perseimbangan karbon dioksida.

iv.                Kajian Plum: Kajian plum daripada sungai utama mudah dikesan daripada imej satelit terutama pada jalur hijau. Kajian plum selalunya untuk melihat pergerakan sedimen permukaan, kadar hakisan dan pencemaran bahan terampai. 

Kesemua kajian tentang masalah global di atas memanfaatkan kaedah penderiaan jauh. Kerja pemantauan jangka panjang juga kerap dilakukan menerusi penderiaan jauh. Data pemonitoran dapat digunakan untuk mengambil langkah tebatan yang sesuai bagi mengawal atau mengurangi impak persekitaran.

1.6       PENGGUNAAN SATELIT DI MALAYSIA

Satu mesyuarat telah diadakan oleh Pengarah Pemetaan Nasional pada 1 Ogos 1977 bertujuan untuk mewujudkan satu agensi koordinasi khas untuk penderiaan jauh di Malaysia. Hasil daripada mesyuarat tersebut, jawatankuasa Penderiaan Jauh Nasional dibentuk. Jawatankuasa ini bertanggungjawab ke atas penyelidikan dan program-program pengembangan dalam bidang teknologi penderiaan jauh dan penerapannya.

Aktiviti utama jawatankuasa ini ialah memperkenalkan pelbagai aspek penggunaan penderiaan jauh termasuk penyelidikan yang menggunakan data daripada pelbagai pentas seperti menerusi helikopter, pesawat udara dan satelit angkasa. Di Malaysia, pesawat udara sebagai pentas penderia telah menghasilkan fotograf udara hitam putih. Pengambilan fotograf udara dari semasa ke semasa oleh Bahagian Pemetaan Nasional bertujuan untuk mengemaskini imej terbaharu untuk keperluan beberapa jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi. Fotograf udara berskala 1:25,000 meliputi seluruh Malaysia, manakala kawasan terpilih seperti kawasan bandar dan pinggir bandar diambil dengan fotograf udara berskala 1:10,000. Peta guna tanah Malaysia pada 1966, 1974 dan 1990 kesemuanya menggunakan fotograf udara.

Mulai 1990, semua urusan penderiaan jauh di Malaysia diuruskan oleh Pusat Remote Sensing Negara (MACRES). Rancangan Malaysia Kelima (1985-1990), MACRES telah menubuhkan MACRES di bawah kendalian Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Pusat ini terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur dan dirasmikan pada 6 September 1990.
Objektif am program Remote Sensing Negara ialah untuk:

i.                    pertingkatkan kemudahan, perkukuhkan keupayaan dan menyelaras aktiviti-aktiviti penderiaan jauh dan teknologi yang bekaitan di dalam negara; dan

ii.                  mempromosi penggunaan penderiaan jauh dan teknologi berkaitan secara meluas bagi tujuan pengurusan sumber perlindungan alam sekitar dan perancangan strategik negara (MACRES, 1991).

          Stesen penerimaan bumi di National Research Council of Thailand (NRCT), merupakan sumber utama bagi MACRES mendapat data untuk kawasan Malaysia. Data yang diedarkan adalah dalam bentuk pelbagai format. Data baru yang diperoleh dari NRCT termasuk juga data TM Landsat dari Amerika Syarikat yang meliputi seluruh Malaysia dan data SPOT-1 dari Perancis bagi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia. MACRES juga memperoleh data MOS-1 dari pusat Remote Sensing Technology Centre of Japan (RESTEC). Data MESSR dibawa oleh MOS-1 dengan resolusi ruang 50 m dan merangkumi kira-kira 90 peratus kawasan pantai Malaysia. MACRES sedang berusaha mendapatkan data satelit beresolusi tinggi menerusi SPOT IMAGE (MACRES, 1991).

Pada awal 1996 kerajaan Malaysia telah mengumumkan pembinaan mikrosatelit hasil daripada usahasama antara ahli saintis Malaysia dengan luar negara. Mikrosatelit yang dipanggil Tiongsat akan dilancarkan ke angkasa sebelum akhir abad ini. Keupayaan mikrosatelit ini ialah melakukan kerja-kerja penderiaan jauh secara luas seperti mengesan kebakaran hutan, pencemaran minyak, telekomunikasi dan frekuensi radiometer. Selain mikrosatelit, Malaysia merancang pelancaran minisatelit yang beratnya 100 kg dan berharga RM100 million sebelum 2002.










  

No comments:

Post a Comment